Sukan Tahunan SK Agama Ibnu Khaldun 2018

SukanSKAIKS

Kuching, 9 Oktober – Kejohanan Sukan Tahunan SK Agama Ibnu Khaldun Kota Samarahan telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang. Kejohanan tahunan kali ke-11 ini telah dirasmikan oleh Pegawai dari Pejabat Residen Samarahan, Tn. Hj. Hamsien Atar. Dalam kejohanan ini, Rumah Ibnu Battutah (Kuning) yang juga merupakan johan tahun tahun lepas, sekali lagi menjadi juara. Tempat kedua disandang oleh Rumah Ibnu Khaldun (Biru) sementara tempat ketiga disandang oleh Rumah Ibnu Taimiyyah (Merah) dan tempat keempat disandang oleh Rumah Ibnu Sina (Hijau).

            Guru-guru dan peserta telah berkumpul dan bersedia di padang sekolah seawal jam 6:30 pagi. Sebelum acara sukan bermula, acara perbarisan yang disertai oleh semua kontinjen unit beruniform dan pasukan daripada semua rumah sukan membuka tirai persembahan. Hanya beberapa acara balapan dipertandingkan memandangkan banyak acara telah disempurnakan sebelum ini dalam pertandingan yang diadakan seminggu lebih awal. Cuaca yang cerah memastikan kejohanan berlangsung dengan jayanya. Selain acara sukan yang dipertandingkan, diadakan juga pelbagai jualan ringan.

          Kalah menang merupakan adat pertandingan. Dalam apa-apa kejohanan sekalipun, semangat kesukanan yang tinggi adalah diperlukan. Kekalahan bukan bererti gagal sebaliknya langkah untuk berjaya. Sukan tahunan yang diadakan di peringkat sekolah merupakan gelanggang untuk mengasah bakat para pelajar dalam melahirkan atlet yang mampu mengharumkan nama negara pada masa hadapan.  

          Kejohanan sukan tahunan ini diakhiri dengan acara penyampaian pingat kepada para pemenang oleh Guru Besar iaitu Cikgu Roslee Terhim, YDP PIBG Dato’ Rozalique serta tetamu jemputan khas.